Wednesday 23 November 2011

ICT DALAM PENDIDIKAN

KUPASAN  JURNAL

TAJUK:
ICT DALAM PENDIDIKAN : PROSPEK DAN CABARAN DALAM PEMBAHARUAN PEDAGOGI

Oleh:      Robiah Sidin dan Nor Sakinah Mohamad

1.     Tujuan kajian

Kaedah perantis ini dipilih sebagai strategi awal untuk membiasakan pelajar dengan pendekatan konstruktivisme yang lebih radikal yang diperlukan dalam pendidikan ICT memandangkan pelajar sudah terbiasa dengan pendekatan tingkah laku iaitu guru sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pelajar. Tujuan kuasi eksperimen dalam kajian ini adalah untuk melihat perbezaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan kesannya terhadap pencapaian pelajar di mana pengajaran yang menggunakan kaedah perantis dibandingkan dengan kaedah tradisional. Tujuan proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan pembinaan laman web.

2.     Objektif kajian:
Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kaedah perantis berbanding dengan kaedah tradisional, dan mengkaji kesan kaedah perantis ke atas pencapaian pelajar berbanding kesan kaedah tradisional.

3.    Skop/ Batasan kajian:
Kajian ini telah di buat di sebuah sekolah di Bentong, Pahang yang melibatkan pelajar dari murid tingkatan 2 yang dijalankan di 2 buah kelas.Eksperimen ini melibatkan dua kumpulan pelajar yang homogenus iaitu kumpulan rawatan terdiri daripada 25 orang yang diajar dalam subjek Literasi Komputer bertajuk pembinaan laman web mengikut kaedah perantis manakala kumpulan kawalan terdiri daripada 24 orang merupakan kumpulan pelajar yang diajar dengan kaedah tradisional yang banyak menjurus kepada prinsip-prinsip tingkah laku iaitu pelajar diberi nota serta menjalankan langkah-langkah yang diberikan oleh guru satu persatu.

4.     Metodologi kajian:
Kawalan yang dilakukan untuk memastikan kesan eksperimen kuasi yang dijalankan melibatkan:
1. Kawalan kualitatif: Pengajaran bagi kedua-dua kumpulan kawalan dan rawatan  
   dilaksanakan oleh guru yang sama.
2. Kawalan kuantitatif: Kedua-dua kelas mempunyai persekitaran serta tempoh pengajaran
   dan pembelajaran yang sama.
3. Kawalan metodologi: Kaedah perantis (pendekatan konstruktivisme) dilaksanakan dalam
   kelas rawatan dan kaedah tradisional (pendekatan tingkah laku) dilaksanakan dalam kelas
   kawalan.
4. Kawalan kandungan: Walaupun pengajaran dilaksanakan dalam kelas yang berbeza,
   namun kandungan pengajaran bagi kedua-dua kelas adalah sama.

Untuk menguji sama ada wujud perbezaan prestasi antara kedua-dua kumpulan rawatan dan kawalan telah sedia terdapat, ujian pra di mana soalan-soalan berkaitan dengan tajuk pembinaan laman web diberikan kepada pelajar untuk dijawab sebelum pengajaran dibuat. Hasil analisis ujian t ke atas ujian bertulis pra menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan di antara kedua-dua kumpulan tersebut dan penyelidik membuat anggapan bahawa prestasi pelajar bagi kedua-dua kelas pengajaran yang terlibat dalam eksperimen adalah setara. Untuk menguji perbezaan dalam pencapaian, ujian bertulis pos dijalankan apabila proses mengajar dengan menggunakan kedua-dua kaedah selesai dikendalikan. Penilaian terhadap tugasan pelajar juga dibuat. Ujian t seterusnya dibuat ke atas hasil kajian dan perbezaan antara kumpulan juga diuji.

Mengikut kaedah mengajar tradisional, penerangan langkah demi langkah diberikan untuk membangunkan laman web. Bagi kaedah pengajaran perantis, guru memberikan panduan kepada pelajar pada peringkat permulaan dan sokongan ini beransur-ansur dikurangkan. Seorang guru dilibatkan dalam pengajaran tradisional dan perantis ini.

Guru tersebut juga telah didedahkan kepada kaedah perantis, telah diberi latihan dan taklimat bagaimana hendak mengendalikan kelas kumpulan kawalan dan kelas eksperimen atau perantis. Terdapat 4 sesi pengajaran dan pembelajaran kemahiran pembinaan laman web dengan menggunakan Microsoft Frontpage dan tempoh pengajaran setiap sesi adalah selama 2 jam. Dua sesi diperuntukkan untuk kaedah pengajaran tradisional manakala, 2 sesi lagi untuk pengajaran dan pembelajaran kaedah perantis. Semasa kelas berjalan, penyelidik berada dalam kelas memerhati dan merakamkan proses yang berlaku.

5.     Dapatan Kajian:
Hasil analisis mendapati bahawa terdapat perbezaan dalam pencapaian pelajar dalam kumpulan rawatan dan dalam kumpulan kawalan. Nilai min kumpulan kawalan ialah 2.29, menepati kualiti atau piawai yang ditetapkan dalam penilaian hasil tugasan laman web oleh Kementerian Pendidikan manakala nilai min untuk kumpulan rawatan pula ialah 1.80 iaitu yang menunjukkan kualiti yang lebih tinggi daripada kumpulan rawatan. Penilaian yang diberi nilai 1 dianggap terbaik kerana melebihi kualiti yang ditetapkan penilaian hasil tugasan laman web. Nyatalah perbezaan dalam analisis min menunjukkan bahawa min hasil tugasan bagi kumpulan rawatan adalah melebihi min hasil tugasan kumpulan kawalan, bermakna hasil pencapaiannya adalah lebih baik.

Apabila analisis ujian t pada aras signifikan 0.05 dilakukan keatas hasil tugasan pelajar daripada kedua-dua kumpulan tersebut, jelas terdapat perbezaan di antara kumpulan di mana nilai p adalah 0.002. Maka ini menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dan oleh itu hipotesis nul dapat ditolak. Maka dapat disimpulkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian tugasan tentang laman web antara kumpulan (Jadual 1). Ujian bertulis juga telah diberikan kepada pelajar untuk menguji tahap pengetahuan fakta, konsep dan kemahiran. Sepuluh soalan diberikan kepada pelajar dan rata-rata didapati nilai min markah untuk kumpulan kawalan adalah lebih rendah berbanding dengan nilai min markah untuk kumpulan rawatan. Didapati, nilai min markah untuk kumpulan kawalan ialah 6.64 manakala nilai min markah untuk kumpulan rawatan ialah 7.63.

Setelah dibuat analisis ujian t terhadap kesan penilaian ujian bertulis di antara kedua-dua kumpulan tersebut, didapati nilai p adalah 0.046 di mana nilainya masih lebih kecil dari 0.05 dan oleh itu ia adalah signifikan. Dapatan analisis ujian-t seperti mana yang diringkaskan dalam Jadual 2 menunjukkan terdapat perbezaan dalam pencapaian ujian bertulis di antara kumpulan kawalan berbanding kumpulan rawatan. Jadi ini bererti ujian bertulis untuk kumpulan rawatan (pendekatan konstruktivisme) adalah lebih baik dari kumpulan kawalan
(pendekatan tingkahlaku).

6.    Perbincangan dan implikasi
Hasil daripada kuasi eksperimen yang dijalankan berdasarkan prinsip dan pendekatan konstruktivisme jelas menunjukkan terdapat perbezaan dalam tahap pencapaian pelajar berbanding dengan pendekatan secara tradisional. Namun hakikatnya kebanyakan sekolah akan kembali kepada kaedah pengajaran tradisional yang lebih berpusatkan guru daripada pelajar. Sehubungan dengan itu kajian kuasi eksperimen ini dapat menangkis pandangan yang mengatakan bahawa pendekatan konstruktivisme adalah sukar dan mengambil masa yang panjang untuk dilaksanakan.

Selain berupaya meningkatkan pencapaian dalam pengajaran, pelajar didapati menggunakan pemikiran pada aras tinggi, tidak hanya menghafal fakta- fakta sahaja, bekerjasama antara satu sama lain semasa menyelesaikan masalah dan seterusnya lebih berdikari dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran.

Daripada perspektif guru pula, kekuatan pendekatan konstruktivisme ini membolehkan guru menjadi fasilitator dan pengurus pembelajaran. Guru boleh memberi tumpuan kepada proses pembelajaran agar ia berjalan lancar dan peranannya adalah tidak hanya menyampaikan pengetahuan kepada pelajar.

Antara kelemahan yang dikenal pasti dalam pendekatan konstruktivisme ialah ia memerlukan masa yang panjang untuk pelajar menyiapkan tugasan dan perbincangan. Secara tidak langsung, sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan dalam masa yang ditetapkan. Oleh itu, pendekatan konstruktivisme memerlukan penjadualan waktu belajar yang tersusun dan jadual waktu yang anjal. Justeru untuk melaksanakan pendekatan konstruktivisme, sekolah perlu melaksanakan jadual waktu anjal itu.

Memandangkan pelajar mempunyai cara tersendiri untuk belajar, pemahaman tentang isi pengajaran yang disampaikan guru juga adalah berbeza dan kadangkala dikalangan mereka berlaku pemahaman konsep yang salah.

Suasana kelas ada kalanya kelihatan lebih bising daripada biasa kerana para pelajar berbincang dan bergerak dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain. Liputan kandungan adalah lebih menyeluruh dalam kelas yang menggunakan pendekatan berpusatkan guru berbanding dengan kelas yang menggunakan pendekatan konstruktivisme (Moursund 2003). Begitu juga apabila pelajar diminta bekerja secara berkumpulan, ia akan memakan banyak masa dan mereka mungkin membuat kesilapan sebelum berjaya mencari penyelesaian yang baik untuk sesuatu masalah (Herr 1992; Smerdon et al. 1999).Dari segi teorinya pelajar yang belajar menggunakan pendekatan konstruktivisme memang aktif membina pengetahuan dengan berbincang sesama sendiri. Guru pula berperanan sebagai fasilitator atau pemudah cara pembelajaran.

Langkah awal yang perlu dilakukan ialah memberi keterangan yang jelas kepada guru tentang kepentingan pendekatan konstruktivisme dan bagaimana pendekatan ini harus dilaksanakan sebaik mungkin.   Hasil kuasi eksperimen ini diharap dapat memberi panduan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengajar dan belajar dengan menggunakan pendekatan konstruktivisme.

7.     Rumusan:
Pembaharuan dalam pedagogi perlu dibuat dalam era globalisasi ini. Banyak cabaran perlu dilaksanakan untuk menjayakan pembaharuan ini. Antaranya ialah guru perlu sentiasa berusaha untuk memajukan diri, sentiasa membuat refleksi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, menggalakkan pelajar untuk lebih berdikari, dan menerapkan semangat kerjasama dan kolaboratif dalam kelas. Guru bersama-sama dengan pelajar mestilah memupuk pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan pembinaan pemikiran kritis dan kemahiran teknologi sentiasa disepadukan.

BIBLIOGRAFI:

Internet

Buku Rujukan
Norazah mohd Nordin(2008),Pengintegrasian ICT dalam Pendidikan Penyelidikan, Amalan dan Aplikasi.Shah Alam.Karisma Publications.Sdn.Bhd